WHAT'S NEXT

ANTAP MUZIK

11.00pm - 06.00am

FAM BERI MASA SEHINGGA HUJUNG SEPTEMBER

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menegaskan pertukaran status persatuan bola sepak (FA) kepada kelab bola sepak (FC)


Back To Sports Updates

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menegaskan pertukaran status persatuan bola sepak (FA) kepada kelab bola sepak (FC) tidak hanya diwajibkan kepada pasukan 'berjiwa besar' dan mensasarkan untuk beraksi di kejohanan peringkat Asia.

Sebaliknya, Setiausaha Agungnya, Stuart Ramalingam menjelaskan pertukaran itu perlu dilakukan semua pasukan yang bertanding dalam Liga Malaysia (Liga M) dengan inisiatif itu selaras dengan ketetapan diarahkan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

Katanya, pertukaran status setiap pasukan kepada FC dilihat dapat membantu meningkatkan gred Liga M ke tahap lebih tinggi seperti sudah dicapai beberapa liga besar di benua ini seperti Jepun, Korea Selatan dan Australia.

"Kalau kita tidak gerakkan projek ini maka terjejaslah liga kita dan kedudukan kita di ranking Asia. Sepatutnya ia digerakkan beberapa tahun lalu namun dengan kerumitan pada masa itu, mungkin ia tidak dapat dilaksanakan.

"Jadi tahun ini adalah tahun terakhir dan kita perlu bekerjasama dengan semua untuk pastikan ia dapat dijayakan. Liga kita perlu disertai oleh FC dan bukan lagi FA.

"Ia (FA ke FC) diwajibkan kepada semua pasukan dan bukan hanya setakat kepada pasukan yang bercita-cita untuk masuk ke Liga Juara Juara Asia (ACL)," katanya.

Justeru, Stuart memaklumkan hujung September akan menjadi detik penentu kepada setiap pasukan dalam memastikan status baharu mereka dapat diperoleh dan kegagalan berbuat demikian akan menjejaskan peluang mereka mendapat lesen untuk beraksi di Liga M musim hadapan.

"Pandemik COVID-19 sememangnya merumitkan situasi tetapi daripada FAM, kita tidak mengambil situasi ini sebagai satu alasan untuk tidak melaksanakan inisiatif ini. Tempoh masanya adalah sehingga hujung bulan September.

"Setiap pasukan perlu mematuhi sepenuhnya apa yang diperlukan dan kita tidak boleh gerakkan tempoh akhir itu kerana ini adalah arahan daripada AFC. Tempoh masa itu bukan untuk menekan ahli gabungan tetapi kami mahu bantu untuk selaraskan dokumentasi diperlukan dan arahan yang diterima daripada AFC adalah untuk kita buat secara bersama.

"Kalau ada yang tidak mendapat status FC, berkemungkinan besar mereka tidak akan dapat lesen bertanding musim depan," katanya.

Sumber: Berita Harian
oleh Syafiq Aznan
syafiq.aznan@bh.com.my