WHAT'S NEXT

CATS AM CREW

06.00am - 10.00am

PENYAMUN SELONGKAR RUMAH FABINHO

Rumah bintang Liverpool, Fabinho dimasuki penyamun ketika pemain itu meraikan kejayaan pasukan menjuarai Liga Perdana Inggeris


Back To Sports Updates

RUMAH bintang Liverpool, Fabinho dimasuki penyamun ketika pemain itu meraikan kejayaan pasukan menjuarai Liga Perdana Inggeris.

Kediaman pemain tengah Brazil di Formby itu menjadi sasaran ketika tiada penghuni dalam kejadian yang berlaku di antara jam 3 petang kelmarin dan 4 pagi semalam.

Penyamun dipercayai memecah masuk rumahnya ketika dia meraikan kejayaan Liverpool di Anfield. Selain barang kemas seperti berlian, kereta Audi RS6 turut dilarikan yang kemudiannya ditemui di kawasan Wigan, menurut polis.

Fabinho hanya mengetahui kejadian itu ketika dia tiba di rumah.

Jurucakap polis Merseyside berkata: "Detektif di Sefton merayu sebarang maklumat susulan rompakan di Formby."

Trofi Liga Perdana disampaikan kepada skuad Jurgen Klopp selepas mereka membelasah Chelsea 5-3 dalam aksi terakhir musim ini.

Penyokong hanya menyaksikan di rumah atau berkumpul di luar stadium susulan pandemik koronavirus tetapi bintang Liverpool meraikan kejayaan dengan berpesta di bilik persalinan.

Fabinho menjadi pemain The Reds terkini yang kediaman mereka dipecah masuk ketika sedang beraksi dalam tempoh beberapa tahun sebelum ini.

Rumah Sadio Mane dimasuki pencuri ketika pemain itu beraksi menentang Bayern Munich pada 2019.

Sebelum itu, Dejan Lovren, Roberto Firmino, Pepe Reina, Daniel Agger dan Jerzy Dudek antara pemain yang turut menjadi mangsa rompakan.

Sementara itu, Liverpool FC enggan memberi komen mengenai kejadian rompakan di rumah Fabinho.

Sumber: Harian Metro
Foto Agensi