WHAT'S NEXT

#CATSMUZIK

10.00am - 02.00pm

KEPUTUSAN RAYUAN JUMLAH ACARA SUKAN SEA DIKETAHUI NOVEMBER

Keputusan rayuan mengenai senarai sukan yang bakal dipertandingkan pada Sukan SEA ke-31 di Vietnam pada tahun hadapan


Back To Sports Updates

KUALA LUMPUR: Keputusan rayuan mengenai senarai sukan yang bakal dipertandingkan pada Sukan SEA ke-31 di Vietnam pada tahun hadapan, dijangka diketahui November ini.

Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria, berkata 10 negara bertanding telah mengemukakan rayuan kepada Vietnam untuk 22 sukan termasuk 11 sukan dimohon oleh Malaysia, serta tiga disiplin, untuk dilangsungkan pada temasya sukan dwitahunan itu.

Oleh kerana jumlah sukan yang diminta dimasukkan ke dalam senarai bagi temasya di Hanoi yang dijadual dari 21 Nov hingga 2 Dis 2021 itu, banyak pihak penganjur meminta masa untuk membuat penelitian, katanya.

"Vietnam mencadangkan supaya senarai sukan tidak diputuskan pada mesyuarat hari ini. Mereka perlu menilai dari segi aspek sukan dan logistik. Jadi Vietnam akan bentangkan perubahan senarai sukan pada mesyuarat seterusnya yang dijadual pada November.

"Keputusan tertakluk kepada hos untuk melihat semua aspek serta implikasi dan kelebihan kepada mereka dan sokongan dari negara-negara terlibat. Setiap 22 sukan ini mempunyai justifikasi dan rasional masing-masing," katanya pada sidang media di Wisma OCM, selepas menyertai mesyuarat Majlis Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) yang diadakan secara maya semalam.

Malaysia memohon agar 11 sukan disenaraikan pada temasya sukan itu melibatkan hoki dalam dewan, bola jaring, pelayaran, tenpin boling, skuasy, boling padang, kriket, ragbi 7s, papan selaju, floorball dan sambo, iaitu sukan tempur dari Soviet.

Sukan lain turut dibuat rayuan untuk dimasukkan pada Sukan SEA itu ialah muay, triathlon, taekwondo ITF, lumba bot tradisional, jujitsu, e-sukan, arnis, obstacle course, kempo, teqball dan soft tennis, selain tiga disiplin iaitu chinlone di bawah sukan sepak takraw serta polo air dan renang seirama di bawah akuatik.

Terdahulu, Vietnam hanya menyenaraikan 36 sukan iaitu olahraga, akuatik (renang dan terjun), memanah, badminton, bola keranjang, tinju, kanu, berbasikal (lebuh raya dan basikal bukit), sukan tarian, lawan pedang, bola sepak, golf, gimnastik, bola baling, bola tampar, judo, karate, mendayung, menembak, ping pong, taekwondo, tenis, angkat berat dan gusti.

Turut tersenarai acara snuker dan biliard, catur/xiangqi (catur China), futsal, Muay Thai, pencak silat, petanque, sepak takraw, renang sirip, bina badan, wushu, kurash, kick boxing dan vovinam (seni pertahan diri Vietnam).

Ditanya mengenai cadangan penghantaran atlet pelapis berbanding atlet senior yang berisiko menyebabkan kontinjen negara kehilangan dominasi dalam beberapa sukan dan keputusan mengenai pengelasan atlet mengikut Kategori A dan B, beliau berkata terlalu awal untuk membuat keputusan itu.

Sementara itu, beliau berkata mesyuarat itu juga membincangkan penganjuran untuk edisi-edisi akan datang.

"Thailand sahkan penganjuran edisi 2025 selepas Kemboja pada 2023, manakala Laos pada 2029. Brunei yang sepatutnya menganjurkan Sukan SEA ke-34 (2027) belum mengesahkan status penganjuran kerana perlu berbincang dengan kerajaannya dahulu," katanya.

Sumber: BERNAMA