WHAT'S NEXT

CATS WEEKEND

07.00am - 10.00am

SARAWAK UNITED SEDIA HARUNGI SAINGAN LIGA

Sarawak United bersedia mengharungi baki saingan Liga Perdana 2020 yang dijangka bermula dalam masa terdekat


Back To Sports Updates

Sarawak United bersedia mengharungi baki saingan Liga Perdana 2020 yang dijangka bermula dalam masa terdekat selepas Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) merancang untuk meneruskan kempen Liga Malaysia (Liga M) 2020 mulai 1 September ini.

Pengurus Pasukan, Afiq Fikri Brahim berkata, sesi latihan akan bermula secepat mungkin selepas calitan Covid-19 yang dijalankan 41 pemain dan pegawai diketahui keputusan malam ini.

"Semua pegawai dan pemain selesai menjalani saringan Covid-19 yang dijalankan di Pusat Perubatan Pakar Kuching (KPJ) pagi ini yang merupakan Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan MFL.

"Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) menyambut baik langkah MFL menyambung semula liga pada bulan September," katanya ketika ditemui selepas saringan Covid-19 pegawai dan pemain Sarawak United di KPJ pagi ini.

Mengulas lanjut, Afiq berkata, fokus utama Sarawak United ialah mengembalikan tahap kecergasan pemain selepas lebih tiga bulan ditangguh berikutan penularan wabak Covid-19.

"Sepanjang liga ditangguhkan pemain hanya menjalani latihan sendiri, sebab itu kita menekankan aspek kecergasan di kalangan pemain.

"Kita yakin mampu untuk terus memberi cabaran dengan tujuh baki saingan Liga Perdana yang tinggal," katanya.

Menurutnya, Sarawak United mesti memenangi ke semua tujuh baki perlawanan untuk ke saingan Piala Malaysia dan naik ke Liga Super musim hadapan.

"Pada masa ini Sarawak United menduduki tangga kesembilan dalam saingan Liga Perdana.

"Aksi Sarawak United selepas ini akan menentang Kelantan, Negeri Sembilan, Perak II, Kuching di gelanggang lawan manakala aksi di tempat sendiri menentang Kelantan, UKM, Terengganu ll," katanya.

Sumber: Harian Metro
oleh Norsyazwani Nasri
sukan@hmetro.com.my
FOTO Norsyazwani Nasri