WHAT'S NEXT

CATS NIGHT OUT

08.00pm - 11.00pm

ROAD TO TOKYO: ATLET DIBERI KELONGGARAN KHAS UNTUK BERLATIH MULAI 1 JUN

Kerajaan memberi kelonggaran khas kepada atlet yang terbabit dalam program Road to Tokyo 2020


Back To Sports Updates

PUTRAJAYA: Kerajaan memberi kelonggaran khas kepada atlet yang terbabit dalam program Road to Tokyo 2020 untuk menjalani latihan persediaan ke Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik di Tokyo.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kebenaran latihan itu bermula pada 1 hingga 30 Jun ini.

Beliau berkata, kelonggaran khas itu melibatkan 265 individu termasuk 57 atlet yang akan menjalani sesi latihan di tiga Kem Latihan Berpusat yang telah ditetapkan.

“Walaupun ada 265 individu, mereka tidak dikumpulkan di satu tempat tetapi dipisahkan ke tiga kem latihan iaitu di Kompleks Sukan Bukit Jalil yang melibatkan 181 individu, Akademi Badminton Malaysia di Bukit Kiara (56 individu) dan juga Pusat Latihan Perahu Layar Kebangsaan di Langkawi (28 individu).

“Kem Latihan Berpusat akan bermula pada 1 Jun sehingga 30 Jun ini sebagai fasa pertama. Saringan COVID-19 akan dilakukan sewaktu pendaftaran.

“Prosedur operasi standard (SOP) amat ketat dilaksanakan, iaitu pada hari pendaftaran mereka perlu jalani saringan, yang negatif akan meneruskan latihan dan yang positif akan dihantar ke hospital,” katanya pada sidang media di Putrajaya pada Selasa.

Katanya, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan menggunakan pendekatan kuarantin selama 30 hari, bermakna atlet terbabit tidak boleh keluar sebaik masuk ke pusat latihan.

"Satu bulan daripada segi kesihatannya, bersamaan dua kali tempoh inkubasi.

“Jadi kalau sebulan itu tiada gejala, boleh dianggap sebagai bersih daripada jangkitan COVID-19.

“Walaupun inkubasi selama satu bulan, sebelum mereka tamat latihan dan keluar, sekali lagi mereka akan dibuat saringan," katanya.

Tambahnya, satu Jawatankuasa Pemantauan yang dipengerusikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican ditubuhkan bagi memastikan pelaksanaan Kem Latihan Berpusat itu dijalankan mengikut SOP ditetapkan.

"Latihan badminton, misalnya, dari segi jarak gelanggang dengan yang lain, mungkin ada di antara gelanggang itu ada gelanggang kosong, semua ini akan dipatuhi supaya kita dapat elakkan jangkitan kepada atlet.

"Kami rasakan terdapat keperluan untuk atlet berlatih kerana mereka mewakili negara ke Sukan Olimpik, sebab itulah kami membenarkan mereka mengadakan latihan tetapi dengan SOP amat ketat," katanya.

Sumber: AWANI