WHAT'S NEXT

CATS NIGHT OUT

08.00pm - 11.00pm

PEMAIN TUNGGU SOP DARI EPL SEBELUM SAMBUNG MUSIM

Kapten pasukan bola sepak England Harry Kane berkata para pemain sedang menunggu panduan keselamatan dari Liga Perdana Inggeris (EPL)


Back To Sports Updates

LONDON: Kapten pasukan bola sepak England Harry Kane berkata para pemain sedang menunggu panduan keselamatan dari Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas kerajaan berkata ia ‘membuka pintu’ bagi kepulangan bola sepak pada bulan depan.

Setiausaha Kebudayaan Oliver Dowden berkata mesyuarat pada Khamis lepas bersama Persatuan Bola Sepak (FA), EPL dan Liga Bola Sepak Inggeris telah ‘memajukan rancangan untuk menyambung semula sukan profesional itu di England’.

EPL berharap untuk kembali beraksi pada 12 Jun, dengan perlawanan yang berlangsung secara tertutup.

Kane, penyerang Tottenham, bersedia untuk mengambil langkah seterusnya, beralih daripada latihan individu kepada sesi kumpulan kecil, tetapi berkata maklumat lanjut diperlukan.

“Saya berpendapat tidak ada orang yang tahu jawapan sebenar buat masa sekarang,” katanya dalam program ‘Good Morning Britain’ di saluran ITV.

“Saya berpendapat majoriti pemain mengalu-alukan kesempatan untuk bermain lagi secepat mungkin tetapi kita tahu kita juga mahu ia selamat sejauh mungkin.

“Dari apa yang saya telah dengar – sudah tentulah saya belum berjumpa dengan rakan-rakan sepasukan – buat masa sekarang, semua orang adalah OK. Kita mahu melihat bagaimana Liga Perdana memberikan pelan kepada kita dan bagaimana rupanya nanti.”

Kane mengesahkan dia, bersama anggota lain dalam skuad Spurs, sudah menjalani saringan awal bagi COVID-19, tanpa sebarang keputusan positif selepas mereka kembali menjalani latihan.

“Kira-kira seminggu lalu kami mula pergi ke padang latihan, kami dibenarkan untuk mengadakan latihan satu lawan satu dengan seorang anggota kakitangan di atas sebuah padang, menjarakkan diri dari semua orang,” katanya.

“Kami menjalani saringan pada Isnin, semua pemain dan kakitangan menjalani saringan, dan semua orang kembali negatif, sesuatu yang amat baik sekali.”

Kane berkata kelebihan 25 mata yang dipegang oleh Liverpool akan menjadikan mereka juara yang berhak tidak kira bagaimanapun kempen 2019/20 berakhir, dan ketiadaan penyokong mereka pada penamatan musim adalah sesuatu yang terpaksa berlaku kerana pandemik.

“Liverpool berhak untuk menjulang kejuaraan dan tanpa penyokong mereka, ia pasti satu situasi yang pelik. Tetapi kita tidak pernah mengalami waktu seperti ini dalam jangka hayat kita,” katanya.

Sumber: Utusan Borneo