WHAT'S NEXT

CATS NIGHT OUT

08.00pm - 11.00pm

EPL BERMULA BULAN JUN TETAPI KELAB-KELAB MASIH BERTELAGAH

Kelab-kelab akan menanggung kerugian yang lebih besar iaitu sehingga 1 bilion pound jika liga musim ini gagal dilengkapkan


Back To Sports Updates

Akhirnya Kerajaan United Kingdom mengumumkan aktiviti sukan elit akan dibenarkan selepas 1 Jun tetapi tanpa penonton.

Perdana Menteri, Boris Johnson, telah memberitahu Parlimen pada 11 Mei lepas dan turut mengakui aktiviti-aktiviti sukan ini akan dapat memberikan rangsangan kepada moral nasional ketika pandemik Covid-19.

Pengumuman ini merupakan berita baik bagi kelab-kelab Liga Perdana Inggeris ( EPL ) yang mengharapkan baki perlawanan musim ini dapat diselesaikan.

Pengumuman Johnson ini selari dengan inisiatif untuk memulakan semula liga di bawah Project Restart yang meletakkan sasaran bulan Jun sebagai tarikh perlawanan-perlawanan bermula.

Tetapi kelab-kelab telah diberi amaran mereka terpaksa memulangkan balik sekurang-kurangnya 340 juta pound dari bayaran yang telah diterima dari syarikat-syarikat penyiaran tempatan dan antarabangsa walaupun liga dimulakan semula.

Jumlah ini akan meningkat jika musim dipendekkan dan tidak ada kelab yang akan disingkirkan dari EPL. Sudah tentu tanpa penyingkiran ( relegation ) akan menjadikan perlawanan-perlawanan tidak bermakna sekali gus tidak menarik kepada pengiklan-pengiklan yang merupakan sumber pendapatan syarikat-syarikat penyiaran tersebut.

Justeru itu cadangan agar tidak ada penyingkiran dari EPL ke Championship musim ini akan merugikan kewangan kelab-kelab.

Walau bagaimanapun, Ketua Eksekutif EPL, Richard Masters, telah memberitahu kelab-kelab akan menanggung kerugian yang lebih besar iaitu sehingga 1 bilion pound jika liga musim ini gagal dilengkapkan.

Sebelum ini dicadangkan agar baki perlawanan diadakan di stadium yang berkecuali sebagai satu cara untuk mengelakkan virus Covid-19 ini dari merebak.

Tetapi sekarang 3 kelab, Brighton, Watford dan Aston Villa membantah secara terbuka dan terdapat kelab-kelab lain yang turut membantah.

Ini tidak menghairankan kerana kelab-kelab itu sedang bertarung untuk kekal di dalam EPL dan sudah tentu bermain di tempat sendiri walaupun tanpa penonton adalah satu kelebihan.

Brighton berada di tempat ke 15, Watford ke 17 dan Aston Villa ke 19 dalam liga 20 pasukan itu. 3 kelab paling bawah akan tersingkir.

Brighton mempunyai baki 9 perlawanan dan 5 perlawanan adalah di tempat sendiri. Mereka akan bermain kelab-kelab kelompok teratas seperti Liverpool, Manchester City, Manchester United dan Arsenal di tempat sendiri. Sudah tentu mereka mahu kelebihan tersebut.

Kelab-kelab yang membantah bertegas boleh memastikan keselamatan orang ramai. Tambahan pula liga Jerman, Bundesliga, yang akan memulakan perlawanan 16 Mei ini tidak akan menggunakan stadium berkecuali.

Stadium berkecuali juga tidak akan dapat menjaminkan keselamatan kerana menurut Datuk Bandar Liverpool, Joe Anderson, penyokong-penyokong tetap akan berkumpul di Anfield ( stadium Liverpool ) jika Liverpool menjuarai EPL walaupun permainan berlangsung di stadium berkecuali.

Isu stadium berkecuali ini telah melagakan kelab-kelab di kelompok teratas liga dan kelompok kelab-kelab paling bawah. Kelab-kelab di kelompok teratas atau "Big Six" telah dituduh lebih mengutamakan faktor-faktor kewangan dari keselamatan pemain-pemain. Mereka dikatakan mahu melindungi kontrak-kontrak komersial mereka dan mementingkan kelayakan ke pertandingan-pertandingan Eropah musim hadapan.

Kelab-kelab yang diancam penyingkiran telah juga mensyaratkan cadangan stadium berkecuali hanya dilaksanakan jika tiada penyingkiran musim ini. Bukan sahaja cadangan ini akan menimbulkan masalah dengan syarikat-syarikat penyiaran malah Liga Bolasepak Inggeris ( EFL ) telah memberi amaran akan mengambil tindakan undang-undang jika ia berlaku. EFL mengendalikan Championship dan setiap musim 3 kelab teratasnya akan dinaikkan ke EPL dan 3 kelab tercorot EPL akan diturunkan ke Championship. Jika tiada kelab Championship dibenarkan menyertai EPL musim hadapan sudah tentu EFL tidak akan berdiam diri.

Ketika ini Leeds dan West Bromwich sedang mendahului Championship dengan Fulham, Brentford, Nottingham Forest dan Preston berada pada kedudukan play-off.

Kenyataan selepas mesyuarat pemegang saham EPL pada 12 Mei lepas adalah berhati-hati dan tidak menunjukkan jalan penyelesaian yang jelas. Ia hanya mengiktiraf betapa perlu langkah-langkah untuk menjamin keselamatan dan komitmen untuk melengkapkan jadual liga. Walau bagaimanapun pendirian EPL terhadap bermain di stadium berkecuali dilihat berubah apabila menyatakan hasrat kelab-kelab untuk bermain di tempat sendiri.

Walau bagaimanapun kenyataan Pengerusi Persatuan Bolasepak England ( FA ), Greg Clarke, menegaskan FA tidak akan membiarkan kempen musim ini dibatalkan. Juara musim ini akan tetap ditabalkan dan 3 kelab tercorot akan diturunkan ke Championship walau apa cara sekalipun termasuk menentukan kedudukan liga berdasarkan mata bagi setiap perlawanan ( points per game ).

Mustahil untuk semua kelab berpuas hati dengan penyelesaian yang diputuskan. Tetapi kenyataan FA ini merupakan satu amaran tegas agar mereka mengenepikan perbezaan mereka. Perkara yang sama juga benar untuk liga-liga bolasepak di seluruh dunia termasuk di Malaysia yang sedang digantung. Kita tidak berada di dalam suasana biasa dan semua pihak perlu bertolak ansur untuk memastikan bolasepak tidak terus menjadi mangsa virus ini.

Sumber: AWANI