WHAT'S NEXT

ANTAP MUZIK

11.00pm - 06.00am

KEMENANGAN UNITED HANGATKAN SAINGAN KE EROPAH

Kemenangan 2-0 Manchester United di Chelsea awal pagi tadi membuka saingan untuk kedudukan keempat Liga Perdana


Back To Sports Updates

LONDON: Kemenangan 2-0 Manchester United di Chelsea awal pagi tadi membuka saingan untuk kedudukan keempat Liga Perdana yang juga kelayakan ke Liga Juara-Juara, berbeza dengan perlumbaan meraih gelaran yang menyaksikan hanya Liverpool akan bergelar juara.

Namun jurulatih, Ole Gunnar Solskjaer dan Frank Lampard, berkata Liga Juara-Juara adalah fokus mereka berbaki perlawanan musim ini.

“Kami mahu berada di Liga Juara-Juara musim depan dan kami memberikan peluang dengan keputusan seperti ini,” kata Solskjaer selepas tandukan Anthony Martial dan Harry Maguire memberikan United kemenangan pertama dalam liga selepas sebulan.

Chelsea masih bertahan di kedudukan keempat dengan 41 mata tetapi Blues hanya satu mata di depan pencabar dari London, Tottenham Hotspur, yang akan berkunjung ke Stamford Bridge Sabtu ini selepas tiga kemenangan berturut-turut di bawah kendalian bekas bos Blues, Jose Mourinho.

Sheffield United dan Manchester United semakin hampir dengan masing-masing mengumpul 39 dan 38 mata tetapi pasukan itu juga perlu melihat Wolverhampton Wanderers dan Everton yang memiliki 36 mata.

Lampard, dengan skuadnya hanya menang dua kali dalam lapan perlawanan liga, mengalami masalah sama apabila gagal memanfaatkan peluang dan berkata Chelsea perlu mengubah prestasi tidak menentu mereka.

“Kami berkedudukan keempat dan ia berada dalam tangan. Jurangnya sudah sedikit tetapi tidak ramai menjangka kami akan berada di sini pada tahap ini, jadi sekarang masa untuk kami bertarung,” katanya.

Lampard dan Solskjaer enggan terbabit dalam kemelut sama ada penggantungan dua tahun Manchester City daripada saingan Eropah bermula musim depan akan membantu kelab mereka apabila kelab kelima boleh layak ke Liga Juara-Juara.

Sumber: Berita Harian