WHAT'S NEXT

ANTAP MUZIK

11.00pm - 06.00am

MAN UNITED SAH KEMARAAN PERINGKAT KALAH MATI LIGA EUROPA

Manchester United melangkah ke pusingan kalah mati Liga Europa berbaki dua perlawanan peringkat kumpulan


Back To Sports Updates

MANCHESTER: Manchester United melangkah ke pusingan kalah mati Liga Europa berbaki dua perlawanan peringkat kumpulan selepas mencatat kemenangan 3-0 di gelanggang sendiri menewaskan Partizan Belgrade, awal pagi tadi.

Gol-gol United dijaringkan Mason Greenwood, Anthony Martial dan Marcus Rashford.

Kemenangan menyaksikan United kini memimpin Kumpulan L selepas mengumpul 10 mata daripada empat perlawanan, kelebihan dua mata di depan kelab Belanda, AZ Alkmaar yang menikmati kemenangan besar 5-0 menewaskan Astana.

Partizan pula mengumpul empat mata manakala kelab Kazakhstan, Astana langsung tidak mengumpul mata.

United yang memenangi trofi Liga Europa pada 2017 di bawah kendalian Jose Mourinho mendominasi perlawanan tetapi penyudah tumpul menghalang mereka daripada mencatat kemenangan lebih besar di Old Trafford.

Pemain muda United, Greenwood meledak gol pertama Red Devils pada minit ke-22 sebelum Martial menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-33 yang menyaksikan penjaga gol Partizan, Vladimir Stojkovic tewas buat kali kedua.

Penyerang England, Rashford menyumbat gol ketiga pada awal babak kedua menerusi rembatan kaki kiri padu dalam kawasan penalti tetapi tiada tambahan jaringan dapat disaksikan sehingga penamat perlawanan.

Sumber: Berita Harian